Thursday, May 19, 2011

Demam Lagi~

Hari Sabtu ni, aku akan menduduki ujian midterm untuk Reproductive System. Tapi sekarang ni aku ditimpa musibah demam. Sudah 2 hari, tapi masih belum kebah. Bila dah sakit ni, sukar nak beri tumpuan pada pelajaran. Apa yang dibaca pun, susah nak masuk. Aku cuma banyak rehat dan tidur.

Bimbang kalau perkara dahulu berulang lagi. Waktu aku berada di tahun satu dahulu, aku kena demam campak sehari sebelum exam Anatomy. Pada malam exam, aku cuma berehat setelah pulang dari hospital. Aku cuma menyelak helaian-helaian buku tanpa memaham apa yang tertulis dalam buku itu. Akibatnya, aku tidak dapat menjawab exam Anatomy dengan baik, kemudian gagal dalam subjek tersebut dan terpaksa pulang semula ke Mesir dengan lebih awal untuk mengambil peperiksaan ulangan.

Tapi aku tidak menyalahkan demam. Itu adalah salah aku sendiri yang lemah untuk melawan penyakit tersebut. Lagipun, memang aku lemah subjek anatomy waktu tu, tiada kena mengena dengan demam pun. Aku baru terbaca satu blog ni dalam post terbaru yang bertajuk, "Sakit Itu Kafarah Dosa". Antara isi yang aku dapat, terutamanya tiga perkara.

Yang pertama : Ada pahala yang kita dapat ketika sakit
Yang kedua : Rasulullah melarang kita dari mencela penyakit
Yang ketiga : Ada hikmah yang Allah beri ketika kita sakit, tapi kita tak nampak. Kita cuma tahu merungut.

* Ada pahala yang kita dapat ketika sakit

Dalam satu waktu, Rasulullah menjenguk Salman al-Fahrisi yang tengah berbaring sakit. Rasulullah bersabda.

“Sesungguhnya ada tiga pahala yang menjadi kepunyaanmu dikala sakit. Engkau sedang mendapat peringatan dari Allah SWT, doamu dikabulkan-Nya, dan penyakit yang menimpamu akan menghapuskan dosa-dosamu.”

* Rasulullah melarang kita dari mencela penyakit.

Rasulullah pun melarang untuk mencela penyakit. Ketika Ummu Saib sakit demam dan mencela penyakit yang menimpanya, Nabi bersabda.

"Janganlah kamu mencela demam. Kerana sesungguhnya demam itu mengikis kesalahan anak cucu Adam sebagaimana bara api mengikis keburukan besi.” (HR. Muslim)

“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.” (HR. Bukhari-Muslim)

* Hikmah
Ada banyak hikmah ketika sakit. Tapi aku nak tulis satu je. Antara hikmahnya ialah,

Sakit merupakan satu peringatan kepada manusia supaya bersyukur

Mungkin sebelum ni aku sombong dan tak tahu bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat sihat yang Allah kurniakan sebelum ni. Waktu sihat, aku jauh dari Allah SWT, tapi waktu sakit barulah aku berdoa dan memohon kepada Allah agar menyembuhkan aku. Allah menyedarkan aku bahawa aku ni seorang insan yang lemah, tak mampu berbuat apa-apa tanpa pertolongan dari Allah. Sesungguhnya Allah yang Maha Berkuasa atas setiap perkara.

Harap-harap, demam aku ni tak memberi kesan buruk terhadap peperiksaan yang bakal aku duduki ni. Sesungguhnya, Allah tak menjadikan sesuatu tanpa sebab. Jadi, demam ini tentu ada hikmahnya.

p/s : Patut bersyukur ditimpa musibah sakit kerana gugur dari seseorang itu dosa-dosa kecil. Alhamdulillah

No comments: